15 September 2015, Selasa; tarikh yang terpapar pada entri
terakhir di blog ini yang dahulunya aku bahasakan ‘rumah kedua’. Sekadar
berkias pada lamanya penulisan blog ini yang sudah tidak tercakna. Bukan itu yang menjadi
pokok dan akar pada nukilan tinta hati kali ini tapi lebih kepada rasa syukur atas ruang dan
kesempatan yang masih diberikan oleh Allah pada kudrat, rohani dan kewarasan untuk
terus berjalan di dunia yang kian senja seperti usia diri. Moga pada usia yang masih berbaki ini,
akan terus perbaiki diri dan tanpa putus asa pada harapan agar kembali ke alam hakiki berbekalkan redha ilahi. Allahumma amen.
Beberapa jam lagi jendela kamar 2016 akan melabuhkan tirainya, maka tabir 2017 akan dibuka penuh harapan serta doa, moga kisah pada
babak-babak lepas sedari azan dan iqamat dialun pada ke dua belah cuping telinga ini akan
terbuku menjadi wacana berharga , kitab panduan untuk aku mengatur langkah, menempuhi madrasah kehidupan ini. Dizahirkan juga kalam syukur,
Alhamdulillah, pernah aku sangka akan tersungkur rebah pada ujian yang pada
anggapanku besar jika dibanding sebelumnya. Tiada apa yang perlu diragukan pada
kalam dan janjiNya, genggam teguh kalam syahadah, dekat diri pada kitab
mukjizat dan bersederhanalah pada sekalian perkara.
Benarlah ilmu pada kita manusia dikiaskan bagai setitik air daripada
saujana lautan, terbatas! Bagi aku jika benar hendak dikesali pada
berlalunya perkiraan usia, maka renunglah pada terbazirnya masa atas urusan lagha. Tidaklah
dapat diputar roda masa, mungkin rindu pada
indahnya kenangan silam dan barangkali mahu
dialterasi dan diperhalusi pada cacat cela pengolahan dan pengisahannya. Cacat cela? TIDAK!
Mana mungkin aturan dan rencana yang maha bijaksana ada tempangnya, melainkan
perancangan manusia disulam benang nafsu dan bisikan iblis. Berbalik pada
fitrah insani, pada Dia tidak pernah ternoktah doa dan sandaran harapan. Lalu, masih
lagi ada percaturan untuk sebuah misteri yang dibahasakan sebagai masa hadapan. Mungkin bakal terisi lagi peritnya ujian
kehidupan, namun masih terus mengharap pada lingkungan kesederhanaan agar
terarah segala gerak geri jasad, nakalnya pemikiran dan kedahagaan nafsu tak
berkesudahan.
Sedikit harapan pada mu wahai 2017, jadilah murabbi pada
madrasah kehidupanku, bimbinglah ketempanganku, sedarkan aku pada indahnya
tidur bermimpikan kelalaian, beratkan pada kepalaku pemberat rasa kehambaan dan sifat rendah diri agar tidak aku segampangnya
mendongak ke langit merentasi fitrahku. Seiring mengikut
irama nadi dan denyut jantungku, sentiasa berharap diampunkan pada khilafnya kata,
jahatnya bisikan hati dan salahnya gerak diri.
Moga bertemu di entri berikutnya. Selamat tahun baru, 2017. Akhiru kalam, Assalamualaikum w.b.t.
Nota kaki: Pada dia yang Allah kirimkan sebagai watak yang menyambut tanganku pada ketika aku rebah tersungkur tak punya apa-apa. Tiada ayat yang bisaku olah, menjadi karya untuk dinukilankan perasaan kasih dan syukur pada kehadiranmu. Terima kasih kerana masih disisi, banyak yang aku pelajari daripadamu, menunggu nota seterusnya, setiap nasihat dan teguran dari mu banyak menyedarkan aku yang lena diulik mimpi. Kiranya kau membaca. :)